Kedai Amal IRM yang menjual barangan terpakai dan hasil jualan dimasukkan ke tabung kemanusiaan.
Kedai Amal IRM yang menjual barangan terpakai dan hasil jualan dimasukkan ke tabung kemanusiaan.
HM Digital

Bangi: Membeli sambil menderma untuk tabung kebajikan. Itu pendekatan Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi program Kedai Amal IRM di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini, dalam usaha mengumpul dana kebajikan.

Kedai itu berkonsepkan penjualan barangan terpakai yang masih boleh digunakan dan hasil jualan dimasukkan ke tabung kebajikan organisasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, program kedai amal itu dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, namun masih ramai tidak tahu kewujudannya.

“Sejak pelaksanaan kedai amal ini, kami memang ada pelanggan tetap yang membeli barangan terpakai sambil menderma.

“Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada antara mereka daripada kelas atasan, sederhana dan berpendapatan rendah.

“Tujuan kedai amal ini mahu menggalakkan orang ramai menyumbang untuk membantu dan dalam masa sama mereka mendapat barangan diperlukan,” katanya, semalam.

Menurutnya, waktu operasi kedai bermula Isnin hingga Jumaat dan dibuka jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Jika hari minggu, kami beroperasi pada Sabtu minggu pertama setiap bulan saja, manakala waktu operasi dari jam 10 pagi hingga 3 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:02 AM