Iskandar Shah Mohamed

 

[email protected] 

SEORANG pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Klang, hari ini selepas disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat pembinaan pada 2015.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang, kira-kira jam 2 petang.

Difahamkan, suspek melakukan perbuatan itu ketika bekerja di Stesen Timbang JPJ Kuala Selangor.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mendapati pegawai itu disyaki memperoleh wang suapan secara bulanan berjumlah RM100 hingga RM300 daripada dua syarikat pembinaan sekitar 2015.

"Ia sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat itu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain pegawai itu, tiga individu lain masing-masing berusia 41, 45 dan 30 tahun turut ditahan antara jam 2.30 hingga 4.45 petang tadi bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata semua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan.

Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 10:35 PM