Mohammad Fitri menunjukkan kesan luka akibat terjatuh selepas dikejar anjing. FOTO ihsan  Mohammad Fitri
Mohammad Fitri menunjukkan kesan luka akibat terjatuh selepas dikejar anjing. FOTO ihsan Mohammad Fitri
Azahar Hashim


PEKERJA kilang luka di lutut kiri dan terseliuh selepas terjatuh ketika dikejar lima ekor anjing di Taman Mutiara, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, Mohammad Fitri Noor Mohd, 18, mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika menyelamatkan diri.

Dia yang bekerja di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang berkata, ketika kejadian itu, dia ke tempat menunggu van kilang di jalan utama yang mengambil masa 15 minit dari rumah.

"Selepas 10 minit berjalan, saya terlihat lima anjing di tepi padang dan berjalan cepat ketika menghampirinya.

"Kebiasaannya saya akan mencari kayu atau batu untuk menghalau anjing yang berkeliaran dan anjing terbabit tidak akan mengganggu saya.

"Namun hari ini saya tidak membawa batu. Sebaik melepasi anjing itu, secara tiba-tiba haiwan itu terus mengejar," katanya ketika dihubungi.

Mohammad Fitri berkata, ketika berlari secara tiba-tiba kakinya tersadung dan terjatuh di jalan raya.

"Seekor anjing menerkam dan cuba menggigit kaki namun saya sempat menendangnya.

"Selepas itu, anjing terbabit berhenti menyerang dan beredar sebelum saya pulang ke rumah dan menerima rawatan di klinik kesihatan di Sungai Kob," katanya.

Katanya, apa yang dikesalkan ialah dua anjing itu mempunyai pemiliknya dan tiga lagi adalah anjing liar.

“Sepatutnya pemilik anjing terbabit tidak membiarkan peliharaan mereka berkeliaran di kawasan taman.

"Apa yang saya risau jika kejadian ini berlaku kepada pelajar atau wanita yang hendak pergi bekerja," katanya.

Dia turut membuat laporan polis selepas kejadian itu supaya perkara sama tidak berlaku kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 7:01 PM