NIK Suhaimi
NIK Suhaimi
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Kes tuntutan saman RM14 bilion terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditetapkan Jumaat ini oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bagi mendengar hujahan lanjut pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili plaintif iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad (Puncak Niaga).

Selain Abdul Khalid, Puncak Niaga turut menamakan dua lagi pihak lain iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri Selangor dalam tuntutan saman membabitkan isu penstrukturan semula industri air di negeri itu yang membabitkan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang kerajaan negeri Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman berkata, Akhtar yang mendengar kes berkenaan sudah membaca hujahan semua pihak, semalam.

Beliau yang mewakili kerajaan negeri Selangor, berkata keputusan sepatutnya sudah dibuat tetapi memandangkan pihak plaintif mahu memasukkan hujahan lanjut, maka Akhtar menetapkan Jumaat ini bagi sesi pendengaran itu.

“Jumaat ini, sambungan hujahan di kamar hakim hanya akan membabitkan pihak plaintif, defendan pertama dan ketiga iaitu Abdul Khalid dan kerajaan negeri Selangor.

“Ia akan menyentuh dua isu iaitu defendan pertama dan ketiga perlu menjelaskan sama ada prinsip undang-undang berkaitan dengan salahguna jawatan awam yang tidak terpakai kerana Malaysia mempunyai Akta Prosiding Kerajaan 1996.

“Isu kedua pula membabitkan plaintif yang perlu memperjelaskan maksud ‘public officer’ atau jawatan awam,” katanya.

Nik Suhaimi berkata, Akhtar turut menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi permohonan pembatalan saman yang dibuat defendan pertama dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:55 AM