NAJIB menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2018, semalam.
NAJIB menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2018, semalam.
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata Pendapatan Negara Kasar (PNK) meningkat lebih 50 peratus sejak 2009.

Dalam 2017 saja, Perdana Menteri berkata, PNK dijangka berkembang pada paras yang kukuh sebanyak 9.1 peratus kepada RM1.3 trilion.

Beliau berkata, pendapatan isi rumah bulanan meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM6,958 pada 2016 dengan kadar pertumbuhan tahunan 8.1 peratus.

“Kenaikan pendapatan isi rumah B40 juga ketara pada paras 10.2 peratus setahun kepada RM2,848 sebulan pada 2016 berbanding RM1,440 sebulan pada 2009.

“Dalam tempoh itu, kadar kemiskinan jatuh daripada 3.9 peratus kepada 0.4 peratus sementara pekali Gini meningkat daripada 0.441 kepada 0.399, sekali gus mengurangkan jurang pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Invest Malaysia 2018 yang dianjurkan Bursa Malaysia Bhd dan Maybank.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Tan Sri Ranjit Singh.

Turut hadir, Pengerusi Maybank Group Datuk Mohaiyani Shamsudin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan.

Antara 2009 dan 2016, Najib berkata, 2.26 juta pekerjaan diwujudkan dengan lebih sejuta adalah pekerjaan pendapatan tinggi yang mana mewakili 69 peratus daripada 3.3 juta yang ingin dicapai menjelang 2020.

Beliau berkata, dengan cacatan itu, ia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dicatatkan.

“Kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah sementara komitmen jangka panjang kerajaan terhadap pengukuhan fiskal dan berhemah bermakna defisit akan terus dikurangkan kepada 2.8 peratus pada 2018, lebih rendah berbanding 3.0 peratus pada 2017 dan 6.7 peratus pada 2009, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:39 AM