ZULKIFLI (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZULKIFLI (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup rokok bernilai RM30.8 juta di Kawasan Zon Bebas, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 18 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya, berkata, bertindak atas maklumat risikan Unit Siasatan Frod (Penipuan) Perdagangan, Cawangan Siasatan JKDM merampas empat kontena masing-masing berukuran 12.19 meter yang diikrarkan sebagai pelbagai barangan lain dalam Sistem Maklumat Kastam.

"Semua kontena yang berasal dari Vietnam itu mempunyai rokok putih.

"Siasatan awal mendapati alamat penerimanya tidak wujud manakala barangan di dalamnya diiktiraf sebagai beg, baju T, raket, kain, selendang, bunga palsu, beg plastik, tuala, tirai, jubah, pakaian kanak-kanak dan makanan ringan," katanya pada sidang media di Dengkil, hari ini.

Zulkifli berkata, nilai rokok yang dirampas ialah RM3.16 juta manakala cukai import RM7.9 juta, cukai eksais RM18.1 juta dan GST RM1.74 juta tidak dibayar.

"Kita sedang menyiasat ejen perkapalan dan agen penghantaran terbabit kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, atas kesalahan mengimport barang larangan tanpa permit import yang sah.

"Di bawah Jadual Ketiga Bahagian 1 Perkara 66 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, jika bersabit kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali duti kastam terbabit atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak lebih 40 kali duti kastam yang terbabit atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 133(1)(b) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar tidak benar ke atas pengikraran import.

Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 11:43 PM