Sumbangan untuk keluarga Muhammad Aqil Khairin daripada pihak Econsave. FOTO/ Razif Rosli
Sumbangan untuk keluarga Muhammad Aqil Khairin daripada pihak Econsave. FOTO/ Razif Rosli
Razif Rosli

KELUARGA Muhammad Aqil Khairin Mohamad Shakirin, 17, remaja yang mengalami jangkitan kuman dalam otak (right subdural empyema) sejak enam bulan lalu terharu menerima bantuan barangan keperluan daripada pasar raya Econsave, Ipoh hari ini.

Bapa Muhammad Aqil Khairin, Mohamad Shakirin Abdul Rahman, 39, berkata, pasar raya Econsave adalah pihak swasta pertama menghulurkan bantuan kepada anaknya yang disahkan mengalami lumpuh seluruh badan.

“Sumbangan susu, lampin pakai buang dan barangan keperluan harian ini nilainya amat besar bagi kami. Saya berterima kasih dengan kesudian Econsave memberi bantuan yang mampu mengurangkan beban kewangan kami.

“Terima kasih juga kepada Baitumal Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menyumbang kerusi roda, lampin pakai buang serta susu cukup untuk anak kami selama enam bulan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Halaman Pengkalan Sentosa, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Bahagian Utara Chua Yong Chiang berkata, pihaknya menyampaikan barangan keperluan selepas terbaca kisah remaja itu yang disiarkan di Harian Metro.

“€œBantuan ini lebih kepada keperluan untuk Muhammad Aqil Khairin serta barangan keperluan harian bernilai RM1,000.

“Kunjungan ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami membantu golongan kurang bernasib baik. Kami berharap pihak korporat mahupun badan berkaitan lain tampil membantu keluarga Mohamad Shakiri,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Harian Metro melaporkan sepasang suami isteri berdepan dugaan menjaga anak yang mengalami jangkitan kuman di otak membabitkan kerosakan serius di bahagian saraf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 3:21 PM