Nur Izzati Mohamad


SURI rumah cedera dipukul suaminya dalam kejadian di rumah keluarga mereka di Penaga, Kepala Batas, pagi Selasa lalu, selepas wanita itu dituduh meniduri lelaki lain.

Dalam kejadian 4 pagi itu, wanita berusia 31 tahun itu dikatakan di ketuk di atas kepala dengan hulu sebilah pisau dan mukanya pula ditampar hingga lebam, selain bengkak pada tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sejurus kejadian, mangsa hadir ke balai untuk membuat laporan memaklumkan dia dicederakan suaminya hingga mengakibatkan bahagian muka dan tangan kanannya bengkak serta lebam.

"Ibu kepada empat anak itu mendakwa suaminya itu bertindak sedemikian selepas menuduh dirinya meniduri lelaki lain.

"Suami mangsa yang bekerja sebagai buruh didapati melarikan diri sebaik mengetahui isterinya membuat laporan.

"Bagaimanapun, suspek ditahan tidak lama kemudian dan direman sehingga 20 Januari," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:34 PM