MOHAMAD Hasan
MOHAMAD Hasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS) tidak mengeluarkan sebarang pekeliling mengenai hukuman denda dikenakan terhadap lelaki baligh yang didapati tidak menunaikan solat Jumaat di negeri itu.

Menteri Besar merangkap Pengerusi MAINS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai langkah Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Pilah mengeluarkan pekeliling mengenai hukuman denda berkenaan.

Katanya, PAID sepatutnya merujuk terlebih dulu kepada MAINS atau JHEAINS sebelum mengeluarkan sebarang pekeliling membabitkan kepentingan umat Islam.

LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.

“Saya sebagai Pengerusi MAINS tak tahu dan tak dimaklumkan mengenai itu (pekeliling), boleh jadi pejabat agama daerah yang ambil inisiatif berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak berkenaan tidak sepatutnya bertindak sedemikian dengan mengeluarkan pekeliling.

“Setakat ini, MAINS atau jabatan agama tidak pernah keluarkan apa-apa arahan dan sepatutnya pegawai agama daerah merujuk terlebih dulu kepada MAINS atau JHEAINS jika mahu mengeluarkan arahan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, semalam.

Mohamad mengulas mengenai PAID Kuala Pilah yang mahu mengenakan denda RM1,000 atau penjara hingga enam bulan terhadap lelaki baligh yang didapati tidak menunaikan solat Jumaat.

Hukuman itu dikatakan dikenakan kepada lelaki Islam tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan ketiadaan uzur syarie dan sebab munasabah mengikut Seksyen 113 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (EJSNS) 1992.

Pegawainya, Mohd Raizalani Mohd Rais menjelaskan hebahan surat pekeliling itu dibuat di 68 masjid seluruh daerah itu bagi memberi kesedaran berkenaan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

Berita berkaitan

RM1,000 denda ponteng solat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:24 AM