Muhammad Saufi Hassan


PASANGAN Panda di Kompleks Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara iaitu Xing Xing dan Liang Liang melahirkan seekor lagi anak pada 14 Januari lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelahiran anak kedua pasangan itu menjadikan Malaysia negara paling berjaya dalam aspek konservasi haiwan spesis berkenaan.

"Pasangan ini pernah melahirkan anak pertama beberapa tahun lalu iaitu Nuan Nuan sebelum anak panda berkenaan dihantar pulang ke China.

"Dengan kelahiran anak kedua ini, kita akan cuba lihat semula syarat perjanjian Program Konservasi Panda yang termeterai antara China dan Malaysia.

"Kita mengharapkan bahawa anak kedua ini akan dimiliki oleh Malaysia, namun usaha perbincangan itu akan dilakukan kelak," katanya dalam sidang akhbar khas di Kompleks Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara, sebentar tadi.

Menurutnya, kedua-dua kelahiran anak pasangan ini adalah semula jadi dan perkara berkenaan juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinet.

Katanya, buat masa ini pihak Zoo Negara tidak dapat mengetahui jantina anak panda berkenaan dan masih belum dinamakan secara rasmi.

"Mungkin dalam sedikit masa lagi, kita akan mengetahui jantina anak panda ini. Bagaimanapun, pusat konservasi sedang melaksanakan pemantauan untuk melihat tahap kesihatan anak panda terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 6:23 PM
NUAN Nuan bermanja bersama ibunya, Liang Liang di Pusat Konservasi Panda, Zoo Negara, sebelum di bawa pulang ke China. FOTO Surianie Mohd Hanif
NUAN Nuan bermanja bersama ibunya, Liang Liang di Pusat Konservasi Panda, Zoo Negara, sebelum di bawa pulang ke China. FOTO Surianie Mohd Hanif