ANGGOTA bomba  meninjau kawasan yang dilanda banjir di Kampung Seberang Batu Badak Segamat.
ANGGOTA bomba meninjau kawasan yang dilanda banjir di Kampung Seberang Batu Badak Segamat.
Mohd Sah Muda & Ahmad Ismail

Segamat: “Saya bersedia sekiranya terpaksa melahirkan anak sulung di pusat pemindahan sementara (PPS),” kata Rozita Rahmat, 17, salah seorang daripada mangsa banjir dari Kampung Seberang Batu Badak yang ditempatkan di PPS Kampung Batu Badak di sini, semalam.

Dia dan suami, Mohd Azrul Mohd Sani, 18, reda sekiranya terpaksa menyambut kelahiran anak sulung mereka di PPS selepas kediaman dinaiki air sejak tengah hari semalam.

Ibunya, Edah Othman, 73 dan bapa, Rahmat Abd Rasip, 75, yang tinggal bersama turut dipindahkan ke PPS berkenaan.

“Semua persiapan termasuk kelengkapan bayi sudah disediakan dan dibawa ke sini. Saya tidak bimbang kerana di PPS ada menempatkan kakitangan kesihatan bersama ambulans bagi menghadapi penghuni yang dalam kecemasan,” katanya.

Rozita berkata, sepanjang hayatnya sudah 15 kali dia dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS kerana rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Muar itu sering dinaiki air yang melimpahi tebing ketika musim tengkujuh.

   ROZITA  (kiri) bersama ibu dan adiknya ditempatkan di PPS  di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.
ROZITA (kiri) bersama ibu dan adiknya ditempatkan di PPS di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.

Rozita antara 85 mangsa daripada 22 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Segamat dan Mersing sehingga jam 4 petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, dua PPS dibuka di Segamat membabitkan 41 mangsa daripada 12 keluarga di Balairaya Gemereh 4, Balai Badang, Segamat.

“PPS Balairaya Kampung Pagoh Tengah pula membabitkan 10 mangsa daripada dua keluarga,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semua mangsa di Segamat itu membabitkan mereka yang terjejas akibat banjir di Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Pagoh Tengah.

Manakala 34 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Tenglu Besar yang dipindahkan jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, pemantauan berterusan dilaksanakan agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pejabat daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:51 AM