Ahmad Bashah (berdiri tengah) bersama murid-murid selepas menyampaikan sumbangan bantuan sekolah pada Program CSR PKNK Majlis Serahan Bantuan Persekolahan Sekolah Tranformasi Daerah Kota Setar di Sekolah Kebangsaan Mergong. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Ahmad Bashah (berdiri tengah) bersama murid-murid selepas menyampaikan sumbangan bantuan sekolah pada Program CSR PKNK Majlis Serahan Bantuan Persekolahan Sekolah Tranformasi Daerah Kota Setar di Sekolah Kebangsaan Mergong. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
BERNAMA

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau juga yakin parti itu mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat dan Kuah yang telah disandang BN sejak sekian lama.

“Walaupun siapa yang bertanding, kita yakin boleh mempertahankan tiga kerusi ini kerana pengundi di Langkawi boleh melihat dan menilai segala usaha kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam membangunkan Langkawi.

“Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad atau sesiapa sahaja mahu bertanding di situ boleh tetapi yang rugi nanti orang Langkawi,” katanya Alor Setar hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bersedia bertanding dalam PRU14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata rakyat Langkawi rugi jika masih mahu memilih Dr Mahathir atas alasan bekas perdana menteri itu banyak berjasa kerana katanya memang tanggungjawab Dr Mahathir selaku pemimpin negara pada masa itu untuk membangunkan Langkawi.

“Sekarang tugas membangunkan Langkawi adalah pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

“Rakyat Langkawi jangan keliru dalam soal ini. Jika tidak di bawah BN, beliau (Dr Mahathir) tidak akan mampu membangunkan Langkawi kerana hanya wakil rakyat BN yang mampu membawa kemajuan di pulau itu dan juga di mana sahaja kawasan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata PPBM juga tidak mampu menerajui Pakatan Harapan di Kedah berikutan pergolakan yang berlaku di antara PPBM, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Mereka sendiri bercelaru tengok sahaja perebutan kerusi yang masih berlaku dan kalau itu pun berlaku, macam mana mereka nak tadbir negara. Rakyat sekarang tidak bodoh, mereka boleh menilai sendiri.

“Rakyat pun sudah muak. Tak akan kita hendak biarkan dia mengulangi kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukannya sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:17 PM