LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ibu bapa jangan terlalu beri muka kepada anak. Itu komen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menyifatkan peningkatan kes pelajar mengancam guru berlaku kerana ibu bapa terlalu memanjakan anak.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Mahang, Kedah Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, pihaknya menyokong tindakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang mencadangkan 23 perkara dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga sebagai panduan tatacara untuk ibu bapa dan penjaga ketika berurusan dengan guru dan pentadbiran sekolah.

“Panduan ini penting bagi mengelak guru dipersalahkan dan diancam pelajar seperti terjadi dalam kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.

“Pendapat saya, setiap guru yang memukul anak murid atau pelajar mesti bersebab, ibu bapa jangan mudah percaya kepada anak mereka, datang ke sekolah dan berbincang dengan guru atau pengetua,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu selalu menghadirkan diri dalam setiap perjumpaan yang diadakan antara PIBG dan sekolah bagi meleraikan isu berbangkit.

“Kami buat mesyuarat pun hanya segelintir ibu bapa yang datang, perlu difahami, ibu bapa perlu menyelesaikan setiap isu anak mereka di sekolah dengan bersemuka dan berbincang,” katanya.

Sementara itu, YDP PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul Fazzly Isma Abdullah berpendapat suasana institusi pendidikan pada masa kini memang mencabar dengan peningkatan pelbagai salah laku atau pelanggaran disiplin pelajar di sekolah.

“Peningkatan kes pelajar ancam guru menunjukkan semakin kurangnya nilai moral pelajar pada masa kini dan situasi ini membimbangkan pendidik dan menggusarkan ibu bapa.

“Melalui pengalaman saya bersama PIBG sekolah sejak 11 tahun lalu, tidak dinafikan masalah pelanggaran disiplin secara tidak langsung berpunca daripada pelajar. Segelintir ibu bapa zaman sekarang memang memanjakan anak dan terlalu mendengar cerita dan suka bertindak sendiri,” katanya.

Katanya, trend terkini juga ibu bapa kurang mengambil tahu permasalahan anak di sekolah antaranya kerana kesibukan bekerja dan berniaga.

“Kesimpulannya, tuntutan gaya hidup atau kos sara hidup pada masa kini menyumbang pelbagai masalah sosial yang bermula daripada bangku sekolah lagi.

“Saya setuju 23 syor NUTP itu wajar didengar memandangkan situasi terkini semakin parah dengan meningkatnya kes antara guru dan pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:12 AM