Ahmad Zahid bersama Bok (dua kiri), Kamalanathan (tiga kanan), Mazlan (dua kanan) dan Lee merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah ‘Transformasi Ke Arah Generasi Bebas Jenayah’ peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2018 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO Zulfadli Zulkifli
Ahmad Zahid bersama Bok (dua kiri), Kamalanathan (tiga kanan), Mazlan (dua kanan) dan Lee merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah ‘Transformasi Ke Arah Generasi Bebas Jenayah’ peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2018 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO Zulfadli Zulkifli
Mohd Nasif Badruddin


PELBAGAI undang-undang berkaitan kesalahan juvana perlu ditambah baik serta diulang kaji semula supaya ia tidak hanya bersifat menghukum tetapi mendidik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kurikulum yang dijalankan di Sekolah Henry Gurney umpamanya adalah kaedah agak berkesan kerana pelaku jenayah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak bergaul sesama mereka dan belajar akademik.

“Jika diletakkan dalam penjara, mereka akan belajar melakukan jenayah yang lebih berat dan penjara jadi sekolah latihan jenayah.

“Oleh demikian kita asingkan mereka di Henry Gurney dan institusi lain di mana mereka mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kebanyakannya yang keluar dari tempat itu berjaya dipulihkan dan hanya sebilangan kecil yang gagal,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2018 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan, Naib Presiden Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Jawatankuasa Induk konvensyen yang juga Pengerusi MCPF Kuala Lumpur Bok Siew Mun dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kelab pencegahan jenayah di peringkat sekolah perlu diisi dengan pelbagai program di luar kelas dan tidak terhad kepada ceramah saja bagi mendedahkan pelajar mengenai bahaya jenayah serta cara mengelaknya.

Menurutnya, program dilakukan bukan hanya perlu membabitkan pengetua dan guru disiplin saja, tetapi bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, seramai 58 peratus banduan menjalani hukuman di penjara terdiri daripada mereka yang terbabit dengan kesalahan berkaitan dadah.

“Dalam keadaan demikian, kadar perlakuan pengulangan jenayah biarpun menurun, tetapi saya masih belum berpuas hati jika ia berada di tahap melebihi 10 peratus.

“Pada 2016, kadar pengulangan berada di tahap 7.6 peratus, tetapi pada 2017 ia menjadi 7.86 peratus, ertinya berlaku sedikit peningkatan.

“Jadi saya minta Ketua Pengarah Penjara dan panel terbabit untuk mengulangkaji apa kaedah terbaru bagi pemulihan kerana apabila banduan melakukan jenayah disebabkan dadah, apatah lagi jika mereka menyalahguna dadah, maka apa yang ada dalam minda dan hati mereka akan terus mempengaruhi perlakuannya di penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 6:40 PM