(Gambar kecil) Lokasi mayat mangsa ditemui di dalam sungai di Kampung Saddani, Batu 2 Jalan Apas, dekat Tawau, hari ini. FOTO Nasrawati Syarifuddin
(Gambar kecil) Lokasi mayat mangsa ditemui di dalam sungai di Kampung Saddani, Batu 2 Jalan Apas, dekat Tawau, hari ini. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


KANAK-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang kelmarin, ditemui lemas di dalam sungai berhampiran rumahnya di Kampung Saddani, Batu 2 Jalan Apas, dekat Tawau, hari ini.

Pada kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mayat Muhammad Azizan Rosli ditemui tersangkut di dahan kayu yang dipenuhi timbunan sampah oleh ahli keluarga kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ahli keluarga mangsa memaklumkan penemuan mayat kanak-kanak itu kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

"Anggota keselamatan kemudian membantu mengangkat mayat mangsa.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang kecederaan ditemui pada badan mangsa.

“Sehubungan itu, setakat ini, polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kes mati mengejut," katanya.

Kelmarin, Muhammad Azizan Rosli yang juga murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tawau itu dilaporkan hilang.

Kali terakhir, dia dilihat bermain di kawasan sungai berhampiran rumahnya, kira-kira jam 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 3:02 PM