RATNA bersama Rosli (kiri)  menunjukkan gambar Muhammad Azizan (kanan). FOTO Nasrawati Syarifuddin
RATNA bersama Rosli (kiri) menunjukkan gambar Muhammad Azizan (kanan). FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


KANAK-KANAK lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Saddani, Batu 2, Jalan Apas, Tawau, semalam.

Mangsa Muhammad Azizan Rosli, 9, disedari hilang kira-kira 4 petang apabila didapati tiada di rumah selepas keluar bermain dengan rakan di halaman rumahnya.

Ibu mangsa, Ratna Mustafa, 48, berkata, pada 3 petang anak bongsunya itu masih berada di rumah bersamanya.

"Namun, selepas saya pulang dari surau berdekatan untuk menunaikan solat Asar, anak saya tiada di rumah.

"Saya cuma lihat selipar yang biasa digunakannya ditinggalkan di tepi tangga rumah," katanya ketika ditemui dikediamannya di Tawau, hari ini.

Menurut bapa mangsa, Rosli Ghani, 56, kebiasaanya selepas keluar bermain, anaknya akan pulang ke rumah sebelum Maghrib.

"Saya berusaha mencarinya di sekitar kampung dan kawasan sungai berhampiran rumah namun gagal.

"Saya tidak yakin anak saya jatuh ke sungai namun fikiran saya menyatakan dia jatuh ke sungai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah saya," katanya.

Katanya lagi, sebaik menyedari kehilangan anaknya itu, laporan polis dibuat pada 9 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, mengesahkan kejadian itu dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju jersi berwarna biru dan berseluar hitam, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 12:59 PM