HANYA beberapa jenis ikan sahaja yang dijual di Pasar Basah Wakaf Che Yeh berikutan masalah cuaca yang tidak menentu pada musim tengkujuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HANYA beberapa jenis ikan sahaja yang dijual di Pasar Basah Wakaf Che Yeh berikutan masalah cuaca yang tidak menentu pada musim tengkujuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


SEJAK dua minggu lalu, peniaga di Kota Bharu hanya menjual beberapa jenis ikan yang mudah diperoleh sahaja, berikutan bekalan kurang akibat tengkujuh.

Tinjauan di Pasar Basah Wakaf Che Yeh mendapati hanya ikan selayang, bawal dan kembung sahaja dijual berbanding sebelum ini, lima hingga enam jenis.

Peniaga, Mariam Mat, 48, berkata, bekalan ikan terputus sejak dua minggu lalu hingga menimbulkan kesulitan kepadanya untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya hanya jual 120 kilogram (kg) ikan sahaja, itu pun dua tiga jenis yang senang dapat berbanding musim biasa, 240 kg untuk empat ke lima jenis ikan.

“Sumber diperoleh dari pembekal di Tok Bali dan Tumpat. Namun cuaca menyebabkan nelayan tidak ke laut, jadi bekalan kurang.

“Ada peniaga di sini terpaksa jual ikan yang dibekukan pada harga mahal iaitu RM10 ke RM14 sekilogram, berbanding RM6 ke RM8 sekilo,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mariam berkata, sejak bekalan berkurangan, harga sekilogram ikan selayang besar dijual pada RM12 berbanding RM8 hingga RM9, manakala ikan selar pula RM18 hingga RM20 berbading RM14 sebelum ini.

Dia sedar pengguna merungut harga ikan mahal, namun peniaga sepertinya juga dalam dilema kerana pembekal juga menetapkan harga yang tinggi.

Seorang lagi peniaga, Noriza Noor,49, berkata, sejak lapan tahun lalu, bekalan ikan dijualnya diperoleh dari Thailand kerana lebih banyak pilihan selain segar.

“Namun musim tengkujuh memang sukar untuk dapat bekalan kerana ramai nelayan tidak ke laut termasuklah di negara jiran.

“Antara ikan yang susah dapat, ikan merah dan tenggiri,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Zaharah Mohd Noor, 67, situasi begitu dihadapi setiap tahun dan pengguna sepertinya terpaksa akur.

Katanya, dia memahami faktor cuaca menjadikan bekalan ikan susut, namun peniaga sepatutnya lebih bertimbang rasa dengan tidak menaikkan harga melampau.

“Dalam situasi begini, jangan fikir soal untung sahaja. Fikir juga kebajikan pembeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:43 PM