Helmy Abd Rahman


GURU besar hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat murid sekolahnya pada 2015.

Zabidah Sulaiman, 58, yang ketika itu bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru 2 di Kemaman, didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang zakat berjumlah RM5,000 daripada Syarikat Ladang Rakyat Terengganu.

Mengikut fakta kes, wang yang diterima tertuduh itu sepatutnya diberikan sebagai sumbangan kepada 100 murid di sekolah berkenaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Che Amir Che Musa, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) pada 13 Julai 2015 di Bilik Mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd di Kemaman.

Dia yang kini bertugas sebagai Guru Besar SK Pasir Gajah, Kemaman, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mohammad Haldar Abd Aziz kemudian menetapkan 11 Februari depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 5:35 PM