HARGA ikan terpaksa dinaikkan berikutan perubahan angin monsun timur laut menyebabkan nelayan sukar ke laut. FOTO Hamzah Osman
HARGA ikan terpaksa dinaikkan berikutan perubahan angin monsun timur laut menyebabkan nelayan sukar ke laut. FOTO Hamzah Osman
Noorazura Abdul Rahman


PENINGKATAN harga ikan secara mendadak di Kedah sejak sebulan lalu tidak dapat dielakkan berikutan perubahan angin monsun timur laut sehingga menyebabkan nelayan sukar turun ke laut.

Ahli Lembaga Persatuan Nelayan Kedah Abdul Hamid Bahari berkata, nelayan terpaksa menjual ikan dengan harga lebih tinggi disebabkan ombak besar yang menjadi punca hasil tangkapan kurang.

"Terdapat 10,000 nelayan yang terkesan akibat perubahan angin monsun timur laut ini, hanya segelintir saja yang akan turun ke laut bergantung kepada keadaan cuaca. Sekiranya hasil tangkapan kurang, mereka terpaksa menjual ikan dengan harga yang tinggi.

"Contohnya jika sebuah bot hanya daratkan lima kilogram ikan kembung, mereka akan naikkan harga bagi menampung kos bahan api yang mencecah ratusan ringgit.

“Ini kerana mereka perlu pergi jauh ke laut untuk memastikan mereka pulang dengan hasil walaupun sedikit. Ia turut mengerah keringat mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah berkata, harga ikan kembung kini dijual antara RM12 hingga RM15 sekilogram berbanding RM6 hingga RM8 sebelum ini.

"Ketika ini orang ramai mempunyai pilihan dengan membeli pelbagai jenis ikan sejuk beku atau Q'Fish dengan harga yang lebih berpatutan iaitu di bawah RM10 sekilogram yang dipasarkan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan.

"Kesegaran Q'Fish ini terjamin kerana ia dibekukan melalui kaedah Mesin Pembekuan Cepat Individu di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran, Kuala Kedah yang berupaya menyimpan 650 tan hasil laut untuk kegunaan ketika musim kekurangan bekalan ikan negara," katanya.

Abdul Hamid bagaimanapun menasihatkan orang ramai tidak panik dengan kenaikan harga ikan kerana ia hanya bersifat sementara.

Katanya, harga ikan itu dijangka kembali stabil bulan depan sekiranya keadaan cuaca bertambah baik.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan harga pasaran ikan kembung di Kedah melonjak sehingga mencecah RM20 sekilogram sejak bulan lalu berikutan kekurangan hasil tangkapan dan cuaca yang tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 12:00 PM