Vasudevan antara guru  yang membuat permohonan pertukarannya dari sekolah di Keningau, Sabah ke Sungai Petani, Kedah.
Vasudevan antara guru yang membuat permohonan pertukarannya dari sekolah di Keningau, Sabah ke Sungai Petani, Kedah.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: “Selepas lima kali memohon rayuan pertukaran, akhirnya impian saya untuk tinggal dekat dengan suami tercapai.

“Ia hadiah paling bermakna sempena tahun baru ini,” kata Ng Chew Ee.

Ng, 43, guru sebuah sekolah menengah dari Taiping, Perak yang permohonan pertukarannya ke Puchong, Selangor diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bulan ini.

Ng berkata, dia berterima kasih kepada KPM kerana pertukaran itu membolehkannya menjalani kehidupan seperti isteri lain selepas lima tahun berjauhan dengan suaminya yang menetap di Puchong.

“Lima tahun itu banyak cabaran apabila kena berdikari tanpa suami di sisi. Sakit pening, semuanya hadapi sendirian.

“Dalam sebulan hanya berpeluang jumpa suami sekali saja, kadangkala saya balik ke Puchong dan ada masanya suami pula datang ke Taiping.

“Selain terpaksa keluarkan kos, saya juga kerap keletihan kerana hanya menggunakan cuti rehat pada hujung minggu untuk berulang ke Puchong sebelum pulang ke Taiping semula,” katanya.

Menurutnya, biarpun diuji pelbagai dugaan apabila berjauhan dengan orang tersayang, dia sentiasa berfikiran positif dan memikul amanah diberikan sebagai guru bahasa Cina dengan sebaiknya.

“Guru juga manusia biasa, ada perasaan dan ada masalah yang perlu dihadapi sama macam orang lain.

“Biar apapun, kita perlu profesional jangan campur-adukkan hal peribadi dengan tugas selain perlu bijak kawal emosi.

“Memang saya akui sedih tinggal jauh dari suami, tetapi tak pernah saya abaikan tanggungjawab terhadap pelajar,” katanya.

Sejak Januari 2016 hingga kini, KPM menyelesaikan 11,606 kes guru duka lara yang berjaya disatukan kembali dengan pasangan masing-masing.

Sepanjang tempoh itu, KPM menerima 39,288 permohonan guru untuk bertukar tugas ke negeri pilihan masing-masing.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris M Vasudevan, 34, pula mengakui alami tekanan perasaan berjauhan dengan keluarga di Sungai Petani, Kedah ketika dia bertugas di Keningau, Sabah selama 10 tahun.

“Dalam keadaan tertentu, saya sukar membuat sebarang keputusan apatah lagi keluarga termasuk ibu bapa dan isteri tiada di depan mata untuk memberi sokongan.

“Saya juga menanggung kos ulang alik yang mahal anggaran RM10,000 setahun untuk lapan hingga 12 kali perjalanan pergi balik ke Semenanjung.

“Biasanya saya akan bertemu keluarga setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah, tetapi jika berlaku kecemasan tiada pilihan terpaksa juga balik dengan kadar tambang yang mahal kerana membeli tiket di saat akhir,” katanya.

Katanya, dia menarik nafas lega apabila permohonan kali kedua untuk menetap bersama keluarga diluluskan KPM kerana pemindahan itu akan memudahkan semua urusannya selepas ini.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana apa yang dihajatkan kami sekeluarga selama ini tercapai dan berterima kasih kepada KPM kerana memahami kebajikan kami.

“Sekolah tempat saya bertugas juga tidaklah jauh sangat dari rumah kami. Saya yakin ini semua akan memotivasikan saya supaya dapat berkhidmat dengan lebih dedikasi dan fokus kepada tugas diamanahkan tanpa perlu memikirkan tekanan yang dialami seperti sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 5:00 AM