Keadaan tiga mayat yang tidak dikenali ditemui terapung di perairan Tanjung Malawali, Kudat.
Keadaan tiga mayat yang tidak dikenali ditemui terapung di perairan Tanjung Malawali, Kudat.
Junaidi Ladjana


TIGA mayat termasuk dua wanita ditemui terapung di perairan Tanjung Malawali, Kudat, semalam.

Mayat tanpa identiti itu ditemui penduduk Kampung Malawali, sebelum dilaporkan kepada polis, jam 10.20 pagi.

Difahamkan, mayat lelaki dewasa dan dua wanita itu dipercayai lemas di Laut Mangsee, Filipina, sebelum dihanyutkan ke perairan Tanjung Malawali.

Ketika ditemui, mayat lelaki hanya berseluar pendek sementara dua mayat perempuan tanpa berpakaian.

Keadaan ketiga-tiga mayat sudah kembung dan tiada kesan-kesan luka atau kecederaan pada tubuh mayat terbabit.

Penduduk Kampung Malawali memaklumkan tidak mengenali semua mayat terbabit dan mengatakan tiada saudara mara mereka yang hilang.

Sehingga kini, belum ada laporan yang dibuat berkaitan orang hilang.

Difahamkan juga, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan sama ada mayat adalah mangsa ribut tropika Tembin yang melanda Filipina, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan penemuan tiga mayat terbabit dan siasatan masih dijalankan.

"Identiti semua mayat terbabit belum dipastikan dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Semua mayat terbabit dihantar ke Hospital Kudat untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:07 PM