SEBAHAGIAN laluan Batu 14 Jalan Apas, Tawau merekah akibat mendapan tanah, hari ini. FOTO Nasrawati Syarifuddin
SEBAHAGIAN laluan Batu 14 Jalan Apas, Tawau merekah akibat mendapan tanah, hari ini. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


SEBAHAGIAN laluan Batu 14 Jalan Apas, Tawau menuju ke Balung ditutup sementara kepada pengguna akibat berlaku rekahan sepanjang 70 meter, hari ini.

Susulan kejadian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau terpaksa membuat satu lencongan dan menjadikan laluan ke bandar Tawau dibuka untuk kedua-dua arah bagi melancarkan lalu lintas.

Penolong Juruteranya Saiman Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berhubung mendapan tanah sehingga menyebabkan rekahan pada 7.01 pagi.

Katanya, pihak JKR membuat satu lencongan sementara supaya pengguna jalan tidak melalui laluan itu bagi mengelak sebarang kemalangan berlaku.

"Kita akan menutup laluan ini dan membuat satu lencongan di jalan bersebelahan di mana satu laluan untuk kenderaan dari Balung menuju ke Bandar Tawau, manakala satu (laluan) lagi untuk kenderaan dari arah bertentangan.

"Pada masa ini, kita menjalankan siasatan dan saya menasihatkan kepada pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui jalan ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di laluan itu.

Terdahulu, Saiman berkata, jalan itu akan diperbaiki sebelum dibuka semula untuk pengguna dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 4:03 PM