KEADAAN hakisan tebing Sungai Kelantan yang berlaku di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas. Foto FATHIL ASRI
KEADAAN hakisan tebing Sungai Kelantan yang berlaku di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas. Foto FATHIL ASRI
Mohamad Zulhairie Manzaidi


LEMBAGA Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu hakisan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, yang membimbangkan 30 penduduk di kawasan itu.

Pengerusinya Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, pasukan terbabit akan mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan susulan laporan diterima, dua hari lalu.

Katanya, pihaknya juga memperuntukkan RM1.6 juta bagi menjalankan kerja pemulihan bermula semalam.

"Hakisan itu turut memberi kesan kepada tebatan rendah (Low Weir) milik KADA yang dipasang bagi membekalkan air kepada tanaman penduduk.

"Kerja pemulihan itu dijangka membabitkan kawasan seluas 1.42 hektar," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di kawasan itu, hari ini.

Md Alwi berkata, proses baik pulih juga akan membabitkan kerja menutup jajaran yang menyebabkan aliran sungai deras hingga menghakis tebing serta meletakkan batu tebatan.

Katanya, kerja mengukuhkan tebing pula akan diuruskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membabitkan jarak 400 hingga 500 meter di sepanjang tebing sungai itu.

"Dengan kerjasama JPS, kita akan pastikan segala urusan membina kembali tebing sungai dapat disegerakan dan kita juga buka laluan untuk mudahkan lori keluar masuk bagi kerja baik pulih itu," katanya.

Sementara itu, penduduk, Ko Po Han, 51, berkata akibat hakisan tanah di hadapan rumahnya seluas 0.4 hektar terhakis menyebabkan dia bersama keluarganya terpaksa berpindah ke rumah sewa kerana bimbang keadaan lebih buruk.

Katanya, dia juga khuatir keselamatan mereka terancam lalu membuat aduan bagi memastikan tindakan pemulihan diambil.

"Dengan kehadiran pihak berwajib dan kerja-kerja baik pulih sudah dimulakan, saya berharap keadaan pulih segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:13 PM