Mohd Rizal Abdullah


KEADAAN jalan raya berhadapan Pasar Batu Satu, Kuala Baram, Miri dipenuhi kayu balak yang hanyut akibat air pasang besar, malam tadi.

Difahamkan, ratusan sisa kayu balak 'tersadai' di atas jalan sehingga sejauh hampir 100 meter.

Penduduk Abdul Mutalip Jaluddin, 49, berkata kejadian itu disifatkan antara yang terburuk apabila gelombang kuat bermula 8 malam semalam sebelum air melimpah ke jalan.

"Ketika kejadian saya sedang menunggu kepulangan perahu dari laut di kawasan pasar ini. Banyak kelengkapan memukat rosak dan dihanyutkan gelombang kuat.

"Bagaimanapun, apabila melihat gelombang semakin kuat, saya dan nelayan lain bertindak segera memindahkan perahu ke tengah jalan bagi mengelak dihanyutkan ombak.

"Sekurang-kurangnya 10 perahu sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-laga sekiranya berlaku gelombang kedua," katanya ketika ditemui di pasar Batu Satu, Kuala Baram, Miri, hari ini.

NELAYAN mengalihkan perahu ke tempat selamat berhampiran pasar Batu Satu, Kuala Baram, Miri, hari ini. Kayu balak dihanyutkan air (gambar kecil). FOTO Mohd Rizal Abdullah
NELAYAN mengalihkan perahu ke tempat selamat berhampiran pasar Batu Satu, Kuala Baram, Miri, hari ini. Kayu balak dihanyutkan air (gambar kecil). FOTO Mohd Rizal Abdullah

Tinjauan Harian Metro mendapati kerja-kerja pemindahan perahu sedang dilakukan pada masa ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri Law Poh Kiong berkata, antara kawasan lain yang terjejas adalah di Kampung Wireless dan Kampung Pujut Tanjung Batu.

Menurutnya, seramai 10 penduduk daripada dua keluarga di Kampung Wireless turut dipindahkan sementara waktu ke Balai Bomba dan Penyelamat Miri, malam tadi.

“Bagaimanapun, semua mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada jam 4 pagi tadi," katanya.

Berita berkaitan

Air pasang besar, 100 penduduk terjejas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:03 AM