TUDUHAN kerugian RM39.6 bilion Bank Negara Malaysia (BNM) sebenarnya adalah aliran keluar dana asing iaitu sesuatu yang bukan luar biasa bukan kerugian daripada dagangan tukaran asing seperti yang berlaku semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyangkal tuduhan Dr Mahathir mengatakan RM39.6 bilion adalah kerugian tukaran asing BNM tetapi sebenarnya jumlah penyusutan rizab antarabangsa disebabkan aliran keluar dana asing dari Malaysia antara 2013 hingga 2015.
“Sindiran dibuat menerusi video yang mendakwa BNM cuai menguruskan rizab antarabangsa dalam tempoh 2013-2015 bukan hanya melulu malah satu cubaan memperlekehkan mandat institusi BNM dalam melindungi ekonomi dan kestabilan negara dengan mewujudkan keraguan dan salah anggap dalam kalangan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Johari berkata, aliran keluar 2013-2015 itu adalah disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lemah, jangkaan langkah normalisasi dasar monetari di Amerika Syarikat (AS) serta kejatuhan mendadak harga minyak global.
"Dalam tempoh ini, aliran keluar modal bukan hanya berlaku kepada Malaysia malah ia turut menjejaskan pasaran yang sedang pesat membangun termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, India, China, Korea Selatan dan Taiwan.
"Semua faktor luaran ini secara praktiknya mendesak pelabur asing untuk mencairkan pelaburan mereka di dalam pasaran saham dan bon kita. Ini sekali gus mengakibatkan peningkatan permintaan bagi dolar AS berbanding ringgit apabila pelabur asing menukar dana berkenaan kepada dolar AS dan menghantarnya balik ke negara masing-masing,” katanya.
Katanya, dalam tempoh itu, BNM menyediakan kecairan dolar AS kepada pelabur asing sebagai tukaran untuk ringgit dan ini sudah pasti berbeza daripada aktiviti dagangan tukaran asing spekulatif yang dibuat pada awal 1990-an.
“Sistem pengurusan rizab semasa oleh BNM berfungsi dengan amat baik dan pasaran kewangan tersusun serta stabil meskipun semasa berlaku aliran keluar modal yang besar.
"Memandangkan asas kita yang kukuh, penyusutan rizab semasa tempoh 2013-2015 tiada impak material terhadap fungsi ekonomi Malaysia serta kedudukan kewangan bank pusat.
"Malah, BNM terus merekodkan keuntungan bersih memberangsangkan sepanjang tempoh berkenaan berbanding pada 1993 apabila kerugian operasi direkodkan disebabkan oleh aktiviti dagangan tukaran asing spekulatif,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menegaskan rizab antarabangsa kekal sebagai penampan penting terhadap kejutan luaran dan mustahak bagi mengekalkan persekitaran operasi stabil di dalam ekonomi domestik dan sejak itu rizab antarabangsa Malaysia terus meningkat.
Setakat akhir November 2017, rizab antarabangsa mencecah AS$101.9 bilion (RM416 bilion) dan mencukupi untuk menyokong 7.5 bulan import tertangguh.
Jumlah rizab semasa adalah lima kali lebih besar berbanding AS$21.7 bilion (RM88.55 bilion) direkodkan pada 1997 yang hanya boleh menyokong 3.4 bulan import tertangguh.