Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu bas yang tersepit. FOTO ihsan pembaca
Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu bas yang tersepit. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


SERAMAI 12 pekerja kilang dan seorang pemandu cedera selepas bas pekerja dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Jalan Tingkat Perusahaan 6, Prai, 6.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu bas berusia 52 tahun patah peha kiri manakala 12 lagi pekerja wanita cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bas pekerja dinaiki mereka datang dari arah Prai menuju ke kawasan perusahaan.

“Sebaik tiba di simpang Tingkat Perusahaan 6, sebuah treler dengan muatan tong keluar dari simpang sebelah kiri.

“Pemandu bas gagal mengelak treler sebelum merempuh bahagian kiri kenderaan berat itu,” katanya.

Menurutnya, bas terbabas dan tersangkut pada batu penghadang jalan.

Nik Ros Azhan berkata, pemandu bas yang tersepit dikeluarkan bomba dan dia bersama 12 penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 11:21 AM