DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) ke 42 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) ke 42 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Asyraf Hamzah
Idris Musa


USAHA membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah selama ini masih gagal sekali gus memerlukan pendekatan dan kerjasama semua pihak secara lebih menyeluruh dalam menanganinya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, harus diakui bahawa usaha untuk menangani masalah itu selama ini adalah gagal, justeru ianya perlu dipertingkatkan lagi.

Menurutnya, tanggungjawab itu tidak harus diletakkan pada bahu kerajaan pusat semata-mata tetapi perlu kepada kerjasama semua kerajaan negeri.

Malah katanya, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat keseluruhannya hendaklah bersama untuk melakukan usaha pemulihan, pencegahan dan pembanterasan penggunaannya.

"Ini (kegagalan) harus diakui. Tetapi tidak memberhentikan usaha kita bagi mempertingkatkan usaha.

"Jangan ada sindrom penafian di kalangan kita bahawa kita telah berjaya. Sebenarnya kita gagal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis dan Yang Dipertua PEMADAM Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas mengenai usaha membanteras penyeludupan dadah, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menggunakan beberapa agensi penguatkuasaan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Selain itu katanya, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita bukan hanya sekadar meneruskan usaha pembanterasan terhadap penyeludupan itu, tetapi mempertingkatkan usaha bagi menentukan bahawa penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dipertingkatkan penguatkuasaannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia tidak akan berkompromi walaupun ada resolusi yang akan dibuat oleh badan antarabangsa untuk menghalalkan penggunaan dadah berbahaya.

"Kerajaan Malaysia tidak akan mematuhi sebarang usaha antarabangsa untuk menghalalkan penggunaan dadah. Dan kami merasakan jika penyalahgunaan dadah dan ketagihan dadah ini mahu dihalalkan, maka ia bersifat di luar norma kemanusiaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 4:33 PM