Izlaily Nurul Ain Hussein

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan kelulusan pembaharuan pemilikan senjata api disaring secara ketat, terutama pemohon berusia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, saringan bagi pembaharuan lesen pemilikan senjata api dibuat secara ketat bagi memastikan tahap keupayaan pemilik lesen dalam keadaan baik.

“Jaga senjata api ini macam jaga anak, bahayanya jika ia tidak disimpan dengan baik. Sebab itu syarat kelulusan memiliki senjata api memang ketat.

“Setiap pemilik yang hendak memperbaharui lesen mereka perlu menjalani ujian menembak setiap tahun untuk memastikan mereka masih berupaya mengendalikan senjata api itu.

“Terutama yang sudah berusia lanjut, kita kena lihat keadaan mereka, tidak rabun dan tiada masalah mental sebelum lesen mereka disambung setahun lagi," katanya pada sidang media majlis Maulidur Rasul Parlimen Pulai 2017 di Dewan Besar Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian mengulas kejadian menimpa kanak-kanak berusia lapan tahun, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin yang maut tertembak senapang patah di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah, kelmarin.

Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas melihat ada unsur kecuaian.

Datuk dan bapa saudara kanak-kanak perempuan itu yang masing-masing berusia 50 dan 15 tahun, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Puteri Intan Sharini cedera parah di bahagian kiri mukanya akibat terkena tembakan senapang patah itu.

Senapang patah berkenaan milik moyang mangsa yang berusia 80 tahun dan lesen senjata api pemilikan masih sah sehingga Jun tahun hadapan.

Nur Jazlan berkata, lesen senjata api milik moyang mangsa itu akan ditarik balik kerana didapati melanggar syarat lesen apabila bukan digunakan pemilik lesen yang sah.

“Ia melanggar syarat lesen dan kita akan tarik balik lesen. Ini juga amaran kepada pemilik lesen yang lain kerana hanya pemilik lesen boleh memegang dan mengendalikan senjata api mereka, malah hanya boleh digunakan di dalam kawasan yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 7:40 PM