MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam di sidang media selepas menyampaikan cek bagi projek pembinaan pra sekolah SRJK(T) 2017 di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam di sidang media selepas menyampaikan cek bagi projek pembinaan pra sekolah SRJK(T) 2017 di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


PERBUATAN pengamal perubatan yang mencadangkan pesakit untuk mendapatkan pemindahan organ dari luar negara adalah bertentangan dengan undang-undang malah, ia tidak disokong Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pemindahan organ yang dibuat di negara lain turut dibimbangi akan mengundang risiko terhadap komplikasi kesihatan.

"Apa yang dilakukan mereka (pengamal perubatan) ini suatu yang tidak sah dan kita nasihatkan supaya tidak melakukannya berikutan dibimbangi wujud risiko komplikasi terhadap kesihatan.

"Setiap negara mempunyai syarat dan peraturan tertentu berhubung pendermaan organ bagi melindungi rakyat mereka dalam mengelakkan perbuatan eksploitasi jualan organ," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Bagi Projek Pembinaan Prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 2017 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika ditanya mengenai perbuatan pengamal perubatan yang mencadangkan pesakit untuk mendapatkan pemindahan organ dari luar negara.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya meminta pengamal perubatan di negara ini tidak mencadangkan perkara sedemikian kepada pesakit kerana disifatkan berbahaya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berharap, jumlah penderma organ di negara ini dapat ditingkatkan kerana ia belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan organ.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan menguatkan pelaksanaan Akta Tisu Manusia 1974 bagi mengatasi isu berkenaan.

Berhubung majlis penyerahan cek itu, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, dana sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan melalui Bajet 2017 untuk pembinaan bagi 50 bilik darjah prasekolah di SJKT.

Katanya, untuk permulaan, sebanyak 33 SJKT di seluruh negara terbabit dalam projek itu dengan kos sebanyak RM200,000 bagi membina satu bilik darjah serta RM400,000 bagi dua bilik darjah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 8:53 PM