Siraj Mohd Zaini


POLIS Selangor berjaya menumpaskan geng samun van keselamatan di Taman Sri Serdang, Serdang, 24 November lalu dengan tertangkapnya dua suspek lelaki bersama wang tunai berjumlah RM106,900 selepas empat hari kejadian itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan reman empat pekerja syarikat keselamatan yang bertugas pada hari kejadian untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis kemudiannya menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga pekerja bahagian teknikal syarikat berkenaan di Senawang, Negeri Sembilan pada 28 November lalu.

"Seterusnya pada 29 November lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan dan menangkap seorang lelaki berusia 25 tahun dan menemui wang tunai RM106,900," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

KETUA Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor (kanan) menunjukkan gambar suspek di kehendaki serta wang yang berjaya dirampas dalam kejayaan menumpaskan kumpulan curi wang dari van keselamatan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
KETUA Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor (kanan) menunjukkan gambar suspek di kehendaki serta wang yang berjaya dirampas dalam kejayaan menumpaskan kumpulan curi wang dari van keselamatan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir

Mazlan berkata, polis kini masih memburu dua lagi suspek yang masih bebas iaitu Mohd Shamrul Hairry Shamsul Kahar, 30 beralamat di Bandar Springhill, Port Dickson dan Mohamad Azhar Mohamad Rawi, 26 dari Felda Tembangau 1, Kemayan, Pahang.

Katanya, empat pekerja yang bertugas pada hari kejadian dibebaskan dengan jaminan polis namun tidak menolak sekiranya mereka akan dituduh bersubahat dalam kes berkenaan.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, 24 November lalu, tiga karung beg berisi wang berjumlah RM461,660 dilarikan dua penjenayah dari van keselamatan di hadapan sebuah bank di Taman Sri Serdang.

Dua penjenayah tanpa senjata itu mengambil masa kurang lapan saat melarikan tiga karung beg berkenaan dengan menaiki motosikal Yamaha 125z.

Ketika kejadian, dua pekerja syarikat keselamatan berada dalam bank bagi urusan pemindahan wang manakala dua berada di dalam van.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 5:09 PM