KEADAAN rumah Aun yang dipenuhi sampah dan barangan terpakai. FOTO Hazreen Mohamad
KEADAAN rumah Aun yang dipenuhi sampah dan barangan terpakai. FOTO Hazreen Mohamad
Khairul Najib Asarulah Khan


ANGGOTA bomba Negeri Sembilan memerlukan tiga jam membanting tulang untuk mengutip empat tan sampah di rumah sewa warga emas di Jalan Han Hui Foong, Temiang, Seremban, hari ini.

Pengarah bomba negeri, Norazam Khamis berkata, 50 anggota dan sukarelawan membersihkan kediaman itu selepas pihaknya menerima maklumat mengenai ketidakupayaan lelaki terbabit, Au Yang Sui Hong, 76.

Katanya, pihaknya mendapati hampir empat tan sampah berada dalam rumah papan itu menyebabkan kerja pembersihan dilakukan segera.

"Lelaki ini menyewa di sini sejak 13 tahun lalu bersama anak perempuan, Au Yang Kar Yan, 31. Semua sampah bertimbum sejak 10 tahun lalu apabila Sui Hong mengumpulnya untuk dijual," katanya.

Menurutnya, sampah itu dalam bentuk pukal, plastik, pakaian, perabot lama serta peralatan yang sudah rosak.

"Selain aktiviti pembersihan, pihak kami membantu menjual barangan kitar semula dan hasil jualan RM200 diserahkan kepada Sui Hong," katanya.

ANGGOTA bomba dan sukarelawan bergotong-royong membersihkan kediaman Aun. FOTO Hazreen Mohamad
ANGGOTA bomba dan sukarelawan bergotong-royong membersihkan kediaman Aun. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata, program dibantu Gabungan Persatuan Penduduk Kawasan Temiang (GPPKT), pasukan bomba sukarela Temiang, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SWM Environment Sdn Bhd.

Norazam berkata, timbunan sampah yang banyak menjejaskan kesihatan dua beranak itu selain rumah didiami dalam keadaan daif.

"Pihak kami simpati membantu kerana Sui Hong buta sejak tiga tahun lalu manakala anaknya orang kurang upaya (OKU) yang berdepan masalah lembam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 4:20 PM