FOTO hiasan
FOTO hiasan
Razik Zayad


TIGA wanita warga China diberkas polis selepas didapati menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah premis refleksologi di Jalan Sulaman, Manggatal, Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, polis turut merampas wang tunai RM17,883, 45 kondom, mata wang China serta tiga telefon bimbit disyaki hasil kegiatan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, dalam serbuan sama, polis turut menahan seorang lelaki tempatan disyaki penjaga premis berkenaan.

“Semua wanita berusia 33 hingga 47 tahun itu mempunyai pasport sah dan mereka disyaki menawarkan khidmat pelacuran secara sampingan di premis berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengenakan bayaran RM300 hingga RM500 bagi setiap perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B, Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 11:02 AM