MD Said menggunting rambut pelanggan di kedainya di Masjid Tanah.
MD Said menggunting rambut pelanggan di kedainya di Masjid Tanah.
Nazri Abu Bakar


Melaka: “Selepas lebih 13 tahun saya masih mengenakan bayaran RM5 bagi setiap pelanggan yang datang dan ia akan terus kekal,” kata tukang gunting rambut Md Said Osman, 70.

Dia yang mengusahakan kedai gunting rambutnya di pekan Masjid, Tanah, berkata, selain mengekalkan harga, suasana dan konsep kedainya juga dikekalkan kerana meninggalkan pelbagai kenangan.

Katanya, walaupun premis lain mengenakan bayaran jauh lebih tinggi serta mempunyai kelengkapan moden namun kedainya masih menjadi pilihan pelanggan terutamanya penduduk kampung.

“Bayaran RM5 dikenakan kepada semua pelanggan termasuk pelajar sekolah mahupun dewasa tetapi jika kanak-kanak ataupun bayi saya hanya minta RM4.

“Buat waktu ini saya tidak bercadang menaikkan harga, cukuplah dengan jumlah itu. Bagi saya kepuasan dapat berbakti kepada pelanggan lagi besar maknanya,” katanya.

Menurut warga emas itu, walaupun premisnya tidak mempunyai kelengkapan moden namun dia mampu menggunting dan menggayakan rambut pelanggannya mengikut cita rasa yang diingini mereka.

Bekas anggota tentera itu berkata, dia mula menggunting rambut sejak 1969 namun tidak pernah jemu dengan tugasan berkenaan malah membuatkannya bergerak lebih aktif walaupun sudah berusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:47 AM