ANGGOTA APM menangkap ular sawa sepanjang tujuh meter di Kampung Batu 23. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM menangkap ular sawa sepanjang tujuh meter di Kampung Batu 23. FOTO ihsan APM
Nazdy Harun


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Terengganu menangkap ular sawa sepanjang tujuh meter dan seberat lebih 100 kilogram (kg) yang berada di bawah rumah di Batu 23, Kuala Berang, hari ini.

Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu, Leftenan Pertahanan Awam (PA) Sansuri Yacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.48 pagi mengenai kehadiran ular berkenaan di rumah itu.

"Pengadu, Mohd Azizul Abdullah, 23, terkejut melihat reptilia berkenaan berada berdekatan dengan tangga di bawah kediamannya sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada kami melalui talian kecemasan.

"Tiga anggota APM bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap ular sawa itu.

"Ular dibawa balik ke pejabat APM Hulu Terengganu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan kehadiran reptilia berbisa ketika musim tengkujuh dan seboleh-bolehnya segera menghubungi pasukan keselamatan bagi menangkap haiwan berkenaan selain tidak mengambil tindakan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 7:45 PM