Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Awam (JPJ) nafi kenakan bayaran RM100 kepada peserta Program myLesen Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) sebagaimana tular di aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata, Program myLesen GDL diwujudkan bagi melesenkan pemandu kenderaan barangan dan menyediakan peluang pekerjaan dengan tajaan penuh oleh Perbadanan Sumber Manusia Bhd (PSMB) tertakluk kepada terma dan syarat yang sudah ditetapkan.

Menurutnya, pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kolaborasi antara Kementerian Pengangkutan; Kemeneterian Sumber Manusia; Institut Memandu, Asian Institute of Logistic (ASIL) dan Persatuan Haulier Malaysia (AMH).

"Kami ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp yang tidak mempunyai sumber yang sah.

"JPJ juga tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak untuk mengenakan bayaran RM100 kepada peserta myLesen GDL," katanya.

Katanya, sesiapa yang ada kemusykilan dinasihat merujuk terus kepada jabatan dan tidak turut serta menyebarkan salah faham tersebut.

Baru-baru ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai Program myLesen GDL yang mengenakan bayaran sebanyak RM100 kepada peserta bagi urusan pendaftaran oleh pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:34 PM