Nabihah Kamal

[email protected].m

Gombak: Menghasilkan robot dengan menggunakan barangan terpakai antara kreativiti dua sahabat, Muhammad Hafiz Basri, 35 dan Mohd Fahmy Mohd Hashim, 35, sejak lima bulan lalu.

Antara barangan yang digunakan bagi menghasilkan robot itu adalah plastik, aluminium dan kertas yang boleh dikitar semula, malah penggunaan barangan elektronik yang tidak lagi berfungsi turut dijadikan elemen unik dalam penghasilan robot itu sehingga kelihatan eksklusif.

Menurut Muhammad Hafiz, dia berkongsi minat yang sama dengan Mohd Fahmy sejak di bangku sekolah.

“Saya dan Mohd Fahmy sekolah bersama dan sering mengumpul mainan seperti Transformers dan Lego. “Kami turut mencuba hobi lain iaitu DIY Toys (mainan buatan sendiri) kerana ia memberi lebih kepuasan selain dapat mencurahkan idea dalam penghasilan robot berkenaan,” katanya.

ROBOT yang terhasil menggunakan barangan kitar semula.
ROBOT yang terhasil menggunakan barangan kitar semula.

Menurutnya, modal bagi penghasilan robot itu hanya kurang daripada RM20.

“Barangan yang dilihat sebagai sampah sebenarnya boleh dijadikan barang baru seperti mainan dan perhiasan untuk robot itu.

“Sebagai contoh, di pejabat, banyak tetikus yang rosak dan saya gunakannya sebagai komponen dalam menghasilkan robot,” katanya yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat.

Sementara itu, Mohd Fahmy berkata, ada yang mahu membeli robot hasil kerja tangannya dan sahabatnya itu ketika pertama kali dia menyertai pameran anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal November lalu.

MOHD Fahmy di samping robot yang dihasilkannya.
MOHD Fahmy di samping robot yang dihasilkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 9:51 AM