Iskandar Shah Mohamed


DUA lelaki berjiran berusia 30-an dicekup polis selepas didapati menjadikan rumah teres di Jalan Tepi Sungai, Klang sebagai stor simpanan ribuan pil ekstasi dan eramin 5, Khamis lalu.

Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan dua suspek warga tempatan berusia 31 dan 34 tahun itu dilakukan menerusi hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

"Dalam operasi membabitkan dua rumah berasingan yang jaraknya hanya 100 meter itu, kita merampas sebanyak 27,000 pil eramin 5 seberat lapan kilogram (kg) dan 2,900 pil ekstasi (satu kg).

"Selain pil yang dianggarkan bernilai RM500,000 itu, sebuah kereta Toyota Vios dan sejumlah wang disita untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari kawasan lain sebelum disimpan di kediaman terbabit dan diedarkan kepada pasaran tempatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti pembabitan individu lain dan punca utama bekalan bahan itu," katanya yang memaklumkan ia antara rampasan narkotik terbesar pihaknya tahun ini.

Beliau berkata, mereka yang turut didapati positif dadah direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:10 PM
Shamsul Amar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian 27,000 pil eramin 5 yang dirampas pihaknya di IPD Klang Selatan, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman
Shamsul Amar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian 27,000 pil eramin 5 yang dirampas pihaknya di IPD Klang Selatan, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman