Ahmad membentangkan Belanjawan Kelantan 2018 pada sidang DUN. FOTO Fathil Asri
Ahmad membentangkan Belanjawan Kelantan 2018 pada sidang DUN. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail


BELANJAWAN 2018 Kerajaan Negeri Kelantan dibentangkan hari ini dengan defisit sebanyak RM41.74 juta berbanding RM42.65 juta tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan belanjawan itu, mengganggarkan perolehan hasil sebanyak RM696.9 juta manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM738.64 juta.

"Jumlah defisit ini menurun sebanyak RM0.91 juta ataupun 2.13 peratus berbanding 2017," pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, anggaran hasil 2018 meliputi hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan sebanyak 9.41 peratus iaitu RM59.92 juta berbanding anggaran hasil tahun lalu sebanyak RM636.98 juta.

"Hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM239.96 juta atau 34.43 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil dengan peningkatan sebanyak RM82.06 juta berbanding tahun lalu RM157.91 juta.

"Manakala, hasil hutan menjadi penyumbang kedua terbesar sebanyak RM140.20 juta, iaitu menunjukkan penurunan sebanyak RM37 juta berbanding tahun lalu RM177.20 juta," katanya.

Ahmad berkata, bertemakan 'Kelantan Sejahtera Untuk Islam’, pihaknya memberi tumpuan kepada empat teras iaitu keberkatan, kemakmuran, kebajikan dan kecekapan.

“€œAntaranya, prihatin isu pendidikan, kerajaan negeri memperuntukkan RM110.5 juta bagi tujuan pendidikan. Daripada jumlah itu, RM96 juta diperuntukkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

"Sebagai penghargaan kepada penjawat awam negeri, kerajaan negeri akan membayar bantuan khas sebanyak RM1,500 yang akan dibayar secara berperingkat pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 8:31 PM