Zuhainy Zulkiffli


Georgetown : Hobi membela kucing mendorong dua sahabat membuka pusat jagaan kucing Penang Cat Studio and Spa di Tingkat Mahsuri, Bayan Baru, dekat sini, sekali gus menjadikan ia sebagai studio kucing pertama di wilayah utara, awal tahun lalu.

Berkonsepkan santai, premis berkenaan menjanjikan pengalaman meriangkan apabila di kelilingi puluhan kucing pelbagai saiz dan baka yang bebas bermain dan bukan dikurung dalam sangkar.

Daripada berusia tiga bulan hingga dua tahun, premis itu mempunyai 57 kucing yang terdiri daripada beberapa spesies tempatan dan luar negara.

Antaranya ialah reg doll, Turkish angore, cornish rex, bengal, parsi, muchkin, mainecoon, highland dan British short hair dengan enam warna berlainan, malah ada yang diimport dari Eropah termasuk Russia dan Ukraine.

Pemiliknya, Tengku Alifzaim Tengku Imran, 28, berkata, premis itu diusahakan bersama rakannya Mohd Azhar Sharif Hussain, 35, yang masing-masing bekerja sebagai kontraktor.

Menurutnya, apabila menjadi pencinta kucing sejak enam tahun lalu, idea membuka premis itu tercetus selepas mereka berkunjung ke kedai penjagaan kucing di Kuala Lumpur.

 Tengku Alifzaim bersama kucing  mainecoon ketika ditemui di Penang Cat Studio and Spa, Tingkat Mahsuri, Bayan Baru.
Tengku Alifzaim bersama kucing mainecoon ketika ditemui di Penang Cat Studio and Spa, Tingkat Mahsuri, Bayan Baru.

“Bila melihat kucing di dalam sangkar, kami berpendapat alangkah baiknya jika membuka premis penjagaan kucing dan membiarkan haiwan ini bebas bermain tanpa dikurung.

“Apabila premis ini dibuka awal tahun lalu, kami berdepan beberapa cabaran terutama bagi memastikan premis tidak berbau kucing selain memastikan pelanggan selesa dengan konsep itu,” katanya.

Tengku Alifzaim berkata, selain penjagaan kucing, emosi dan kelakuan kucing perlu diambil kira terutama pada musim mengawan kerana biasanya kucing akan membuang air merata-rata bagi ‘menanda kawasan’, kerap mengiau dan sering bergaduh dengan kucing lain.

Beliau berkata, kucing paling besar di premis itu adalah daripada baka mainecoon yang beratnya pernah mencecah 12 kilogram (kg) sebelum mengurangkan berat badannya sehingga 9kg pada musim mengawan.

“Selain studio dan spa, premis ini turut menawarkan khidmat inap kucing serendah RM10 sehari, membiakkan baka, jualan barangan eksklusif serta menjual kucing dengan harga antara RM600 hingga RM3,500 mengikut umur dan baka.

“Kebanyakan kucing mempunyai nama timangan sendiri, namun paling istimewa ialah kucing kurang upaya baka mainecoon apabila dilahirkan tanpa tempurung lutut tiga bulan lalu, tetapi ia lincah bermain dengan pengunjung.

“Semua kucing itu sudah menerima vaksin, diberi makanan tambahan dan dirapi bagi mengelakkan penyakit,” katanya.

Tengku Alifzaim berkata, biasanya sebelum kucing dijual, mereka menerangkan mengenai ciri yang dikehendaki dan jangka hayat selain tip penjagaan supaya ia dijaga dengan baik selepas dibawa pulang ke rumah pelanggan.

Katanya, pada masa hadapan, mereka bercadang mahu menjadikan premis ini sebagai pusat sehenti apabila ia turut menempatkan perkhidmatan veterinar.

Menurutnya, pengunjung turut berpeluang melihat kucing didandan selain merawat dan mengeringkan kucing dalam mesin beraroma yang diimport dari Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 4:06 AM