Mohamad Fuzi
Mohamad Fuzi
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Cheras: Tidak wujud sindiket tertentu yang menculik kanak-kanak seperti dibimbangi ramai.

Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berhubung kehilangan lebih 1,000 kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun yang dilaporkan kepada polis.

Bagaimanapun, menurutnya, kes orang hilang turut membabitkan dewasa dan bukan dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

“Saya dapati ada keluarga mangsa tidak memaklumkan semula penemuan ahli keluarga yang dilaporkan hilang kepada polis. Ini menyukarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengemaskini data berkaitan kes orang hilang di negara ini.

“Polis perlu petunjuk untuk menyiasat kes orang hilang dan semua pihak termasuk orang awam bertanggungjawab mengesan orang hilang dengan melaporkan kepada polis sekiranya menemui individu terbabit.

“Sebaik laporan dibuat, polis akan menjalankan siasatan secara berterusan. Namun, ada kes kehilangan kanak-kanak seperti di Cheras, dua minggu lalu iaitu ibu bapa tidak memaklumkan kepada polis selepas anak mereka ditemui.

“Kami hanya mengetahui mengenai penemuan itu daripada pihak ketiga. Laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu sudah dimasukkan dalam data dan sekiranya semua keluarga mengambil tindakan sama dengan berdiam diri, bagaimana kami ingin mengemaskini data,” katanya ketika sidang media sejurus Majlis Perhimpunan Pegawai Awam PDRM (PACSU) di Maktab PDRM Cheras, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, setakat ini tiada siasatan menjurus kepada kewujudan sindiket berkaitan kehilangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

“Sekiranya ada kami akan bekerjasama dengan negara luar untuk membanteras kegiatan ini,” ulasnya berhubung jawapan balas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat di Dewan Rakyat, kelmarin.

Masir dalam jawapannya memaklumkan 1,803 kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun dilaporkan hilang tahun lalu dengan seramai 979 individu sudah dijumpai semula, manakala 824 masih hilang.

Jumlah itu meningkat berbanding 2015 iaitu 1,782 orang hilang.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan PACSU, Mohamad Fuzi berkata, PDRM akan memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua isu dan permasalahan yang dihadapi pegawai awam PDRM.

Katanya, isu kekurangan tenaga kerja dalam menampung beban penugasan harian turut dipandang serius dan akan diperjuangkan untuk menambah perjawatan pegawai awam dalam pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:57 AM