Tengku  Zafrul
Tengku Zafrul
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Siasatan menyeluruh dilakukan CIMB Group Holding (CIMB) sebelum mendapati pita magnetik mengandungi maklumat sandaran yang dilaporkan hilang tidak mengandungi maklumat pengesahan peribadi seperti nombor PIN, kata laluan mahupun nombor CVV kad kredit pelanggan.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya mendapati tiada bukti maklumat itu disalahgunakan.

“CIMB ingin memaklumkan pita magnetik yang mengandungi maklumat sandaran hilang dalam perjalanan ketika satu operasi rutin.

“Sesetengah pita itu mengandungi maklumat tertentu pelanggan CIMB Bank dan anak syarikat. Berikutan itu, siasatan menyeluruh dan terperinci dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, bank memilih mengambil langkah konservatif dalam menitikberatkan keselamatan dan perlindungan data, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa serta melipatgandakan usaha melindungi kepentingan pelanggan.

“Berikutan insiden ini, CIMB mempertingkatkan langkah keselamatan di semua saluran termasuk memberhentikan sementara perkhidmatan melalui telefon seperti penukaran alamat/nombor telefon/e-mel bagi kad debit/kredit/Pemindahan wang/urusan pembayaran tanpa T-PIN dan permintaan T-PIN baru.

“Buat masa ini, tiada apa-apa langkah yang perlu diambil pelanggan. Bagaimanapun, CIMB menyarankan pelanggan sentiasa berwaspada. Jika curiga, sila rujuk saluran maklumat rasmi CIMB sama ada melalui laman web utama, pusat panggilan perkhidmatannya mahupun cawangan di seluruh negara.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan CIMB memberi jaminan mengambil tindakan bagi memastikan tidak timbul kesan negatif.

“Orang awam dinasihati mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keselamatan maklumat peribadi masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 5:28 AM