PESERTA Program Gotong-Royong GeoVolunteer melakukan aktiviti pembersihan di kawasan Sungai Kilim, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
PESERTA Program Gotong-Royong GeoVolunteer melakukan aktiviti pembersihan di kawasan Sungai Kilim, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

SERATUS dua puluh kilogram (kg) sampah dikutip pada 'Program Gotong-Royong GeoVolunteer' bertemakan 'Jom Selamatkan Paya Bakau' di Pangkalan Nelayan Sungai Kilim di Langkawi, hari ini.

Program bermula 8.30 pagi itu dianjurkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB) dengan kerjasama Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad.

Pengurus Besar MASB, Suhaimi Mubin berkata, gotong-royong bertujuan menzahirkan suasana hijau di persekitaran Kilim Karst Geforest Park itu disertai 30 kakitangan MASB Langkawi.

"Sepanjang program selama empat jam peserta mengutip 120 kg pelbagai jenis sampah dan 300 pancang buluh, selain menanam 215 benih pokok bakau.

"Kerjasama seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan komuniti tempatan bahkan memberi pendedahan kepada warga kerja MASB berkaitan khazanah alam," katanya ketika ditemui di sini.

Suhaimi berkata, masyarakat tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk menjaga kebersihan, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan dengan tidak membuang sampah sesuka hati.

"Misalnya kawasan Santuari Bakau, Kilim Karst Geoforest Park yang kami bersihkan hari ini dikelilingi tujuh hutan simpan serta hutan bakau asli yang amat berharga dan perlu dipertahankan selama-lamanya.

"Difahamkan juga batuan di sini dibentuk oleh batuan kapur berusia 490-€“350 juta tahun, malah kira-kira 77 daripada 114 spesies bakau di dunia boleh didapati di Langkawi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menganjurkan program sama pada masa hadapan sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 7:17 PM