KEADAAN bumbung rumah penduduk yang rosak akibat puting beliung di Kampung Rambai. Gambar kecil, mangsa ribut di Kampung Alor Ali, Bakri Hussain, 54. FOTO Ihsan Penghulu Mukim Bukit Raya.
KEADAAN bumbung rumah penduduk yang rosak akibat puting beliung di Kampung Rambai. Gambar kecil, mangsa ribut di Kampung Alor Ali, Bakri Hussain, 54. FOTO Ihsan Penghulu Mukim Bukit Raya.
Nur Syazwana Mansor


ENAM puluh satu orang membabitkan 11 keluarga dari Kampung Rambai dan Kampung Alor Ali, Pendang hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka dilanda ribut petang semalam.

Mangsa, Bakri Hussain, 54, dari Kampung Alor Ali, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam rumah namun pada masa itu cuaca cerah menyebabkan dia tidak sedar angin kuat di luar.

"Saya tinggal seorang diri di rumah manakala isteri dan anak-anak berada di rumah jiran sebelah.

"Saya hanya sedar rumah dilanda ribut selepas terdengar bunyi kuat seperti hentakan sebelum melihat bumbung sudah tiada lantas berlari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Bakri berkata, hampir keseluruhan rumahnya rosak teruk akibat kejadian itu selain sistem pendawaian elektrik turut rosak.

"Seluruh bumbung rumah saya sudah diterbangkan angin, manakala barangan elektrik dan perabot juga rosak akibat terkena sisa runtuhan bumbung rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Ali, di sini, hari ini.

Isteri mangsa, Rohidah Mat, 48, berkata, ketika kejadian dia dikejutkan dengan bunyi angin kuat ketika berada di rumah jiran.

Katanya, dia hanya terlihat kepulan angin hitam yang laju datang sebelum melanda rumahnya serta beberapa rumah berdekatan.

"Bumbung rumah tok (jiran sebelah) turut diterbangkan angin sebelum menghempap bumbung rumah saya.

"Kejadian berlaku dengan pantas tanpa kami sempat berbuat apa-apa melainkan hanya berlindung menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan tiada yang cedera dalam kejadian ini," katanya.

Penghulu Mukim Bukit Raya, Muhamad Sobri Karim berkata, seramai 61 orang dari 11 buah keluarga membabitkan Kampung Rambai dan Kampung Alor Ali hilang tempat berteduh.

Katanya, pihaknya mengambil tindakan memindahkan semua keluarga yang terbabit ke tempat yang selamat.

"Mangsa dari Kampung Alor Ali berpindah buat sementara ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Ali.

"Mangsa dari Kampung Rambai pula berpindah ke rumah ahli keluarga terdekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitendan, Fadzil Hashim berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima tujuh laporan polis berhubung kerosakan rumah akibat dilanda ribut.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 2:43 PM