PROTON Persona yang terbabas ke dalam sungai di persimpangan lampu isyarat Wat Siam, Jitra dibawa keluar dari sungai. FOTO Ihsan APM
PROTON Persona yang terbabas ke dalam sungai di persimpangan lampu isyarat Wat Siam, Jitra dibawa keluar dari sungai. FOTO Ihsan APM
Muhaamad Hafis Nawawi


PEMANDU Proton Persona berusia 33 tahun terselamat selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam sungai Kelubi di persimpangan lampu isyarat Wat Siam, Jitra, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, pemandu lelaki terbabit datang dari arah Pekan Jitra untuk pulang ke rumah di Taman Tunku Sarina, namun sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, bagaimanapun dalam kejadian itu, mangsa berjaya keluar dari kereta dan terselamat.

Menurutnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra memaklumkan kemalangan itu.

"Operasi mencari kereta yang tenggelam di dalam sungai itu kemudian dijalankan 8 pagi hari ini bersama bantuan pasukan skuba anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten Pertahanan Awam (PA) Kamalruzaman Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 6 petang semalam daripada pihak polis yang meminta bantuan mencari kereta itu.

"Operasi mencari kereta itu bermula 8 pagi hari ini sebelum menemuinya di dasar sungai dengan kedalaman lima meter pada 9.15 pagi.

"Kereta itu ditemui lebih kurang 300 meter dari lokasi ia terjatuh di persimpangan lampu isyarat itu," katanya.

Kamalruzaman berkata, seramai 10 anggota APM Kubang Pasu dan 10 anggota skuba APM Kota Setar terbabit dalam operasi mencari kereta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 2:07 PM