Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik (dua dari kiri) mengangkat bekalan makanan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Jenis Cina Chon Khwa, Taman Bagan. - Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik (dua dari kiri) mengangkat bekalan makanan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Jenis Cina Chon Khwa, Taman Bagan. - Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Mohd Hafizee Mohd Arop


TIADA sebarang laporan jenayah, termasuk kecurian diterima polis sepanjang banjir di Pulau Pinang sejak malam tadi.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, walaupun tiada laporan diterima, namun pihaknya tetap meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi terjejas banjir.

Menurutnya, polis menasihatkan mangsa banjir mengutamakan keselamatan diri sebelum memikirkan harta benda mereka.

“Mangsa jangan memikirkan harta benda, sebaliknya utamakan keselamatan diri kerana dalam situasi banjir, apa saja boleh berlaku.

“Polis mempunyai keanggotaan yang cukup selepas arahan pembekuan cuti dilakukan termasuk bantuan daripada FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) serta agensi lain.

“Pihak berkuasa akan memberikan bantuan semampu mungkin kepada mangsa banjir.

“Setakat ini keadaan banjir mulai terkawal dan beberapa kawasan sudah surut dengan mangsa mula pulang,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2, Butterworth, hari ini.

Roslee berkata, tiga peranan utama polis adalah untuk menyelamatkan nyawa, menjaga harta benda serta mengawal lalu lintas sepanjang berlakunya banjir dan kesemua peranan itu berjalan dengan baik setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 10:24 PM