FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Fardy Bungga


POLIS menyelamatkan tiga wanita Thailand daripada dieksploitasi untuk seks dalam serbuan di hotel di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam serbuan 2.30 petang itu, ketiga-tiga wanita yang tiba sejak 26 Oktober lalu dipercayai ditempatkan di hotel berkenaan dan diawasi ahli sindiket berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah melancarkan operasi dan berjaya membebaskan tiga wanita terbabit.

Katanya, hasil siasatan ketiga-tiga wanita berkenaan mempunyai pasport yang sah dan sampai ke negeri ini pada 26 Oktober lalu sebelum diekploitasi sindiket berkenaan.

"Susulan itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 32 tahun di kawasan parkir hotel berkenaan selepas dipercayai terbabit dengan sindiket pelacuran itu.

"Kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007 dan jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan didenda," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Salehhudin memberitahu dalam serbuan lain, polis menahan wanita warga Filipina yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi Wechat.

Katanya, dalam serbuan 8.40 malam di sebuah bilik hotel di Jalan Bandaran Berjaya itu, wanita berusia 20-an terbabit turut didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

"Wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan mencari langganan bagi tujuan persundalan dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 3:49 PM