D J Dolasoh

WANITA yang ditahan susulan penemuan bayi lelaki masih bertali pusat di belukar belakang sebuah resort di Gerik, Rabu lalu direman sehingga 15 November ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Mat Isa berkata, wanita berusia 24 tahun warga Thailand itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada hari kejadian susulan penemuan bayi terbabit.

"Wanita terbabit ditahan beberapa jam selepas bayi lelaki yang hidup dan masih bertali pusat itu ditemui.

"Dia (suspek) ditahan di resort sama lokasi bayi berkenaan ditemui," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis berjaya mendapat perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit selama dua minggu bermula kelmarin.

"Bagaimanapun, wanita itu kini dirawat di Hospital Gerik dan dalam kawalan polis.

"Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi," katanya.

Sementara itu Ismail berkata, bayi lelaki terbabit kini ditempatkan di wad Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

Difahamkan ketika ditemui, bayi berkenaan mengalami kecederaan termasuk di paha selain kesan calar-calar di beberapa bahagian badan.

Harian Metro semalam melaporkan, bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat ditemui dicelah pokok dalam belukar di belakang sebuah resort di Gerik, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, bayi berkenaan ditemui oleh penyewa resort terbabit yang mendengar tangisan bayi itu.

Berita berkaitan

Mujur terdengar tangisan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 4:51 PM