Nabihah Kamal

 

"DAH besar saya nak jadi bos," kata Siti Aisyah Qayyum, 11, yang tular di Facebook selepas videonya menjual air kopi dengan cara tersendiri di Dataran Merdeka termasuk mendoakan pembelinya menarik perhatian netizen sejak Isnin lalu.

Menurut Siti Aisyah, dia menjual lima hingga 10 botol air kopi dan barli buatan sendiri di Dataran Pahlawan Melaka dari Isnin hingga Jumaat manakala di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad dengan ditemani ibunya.

"Harga saya jual RM5 dan percuma doa. Saya juga cari kebaikan air sebelum saya jual supaya dapat membantu mempromosikannya," katanya yang tinggal di Shah Alam.

Sementara itu, ibu Siti Aisyah, Sarah Muhammad, 35, berkata, empat anaknya, Khalid Qayyum, 12, Uthman, 9, Khadijah, 7, dan Siti Aisyah memintanya mengajar cara berniaga sejak September lalu.

"Mereka yang mahu meniaga sebab nak belajar jadi usahawan. Saya bantu serba sedikit kerana masing-masing sudah tahu peranan dalam perniagaan.

"Khalid akan mengira stok serta menyediakan bahan untuk hasilkan air yang akan dijual manakala Siti Aisyah pula akan membuat promosi," katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka aktiviti empat orang anaknya serta kepetahan Siti Aisyah itu tular di media sosial.

"Siti Aisyah memang gemar bercakap dan dia sendiri yang mencari maklumat tentang produk yang dia nak jual.

"Saya sentiasa pantau mereka dan ketika mereka meniaga 'suka-suka' saya teman mereka setiap kali mereka ingin meniaga.

"Mereka buat begitu secara sambilan bukan sepenuh masa kerana mahu mengisi masa lapang," katanya.

Menurut Sarah, menerusi perniagaan itu, dia dapat lihat perkembangan anak-anaknya termasuk tahap keyakinan diri yang semakin meningkat.

"Mereka meminta saya buka akaun Instagram iaitu wirausaha.my, dari situ mereka turut promosikan air yang dijual.

"Bagaimanapun, mereka tetap akan merujuk saya jika ada soalan yang pelanggan tanya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 10:49 PM