Gambar hiasan
Gambar hiasan
Rudy Syareme Sheriffudin


KERAJAAN Pulau Pinang menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah kenderaan berat diparkir di tepi jalan di kawasan perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan isu kenderaan berat seperti lori dan bas diparkir di tepi jalan terutama di kawasan perumahan.

Beliau berkata, hasil aduan diterima, kerajaan negeri berbincang bersama agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, dalam usaha mengatasi masalah itu, jawatankuasa bertindak ditubuhkan yang menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama PDRM, JPJ dan SPAD secara berkala.

"Pihak kerajaan turut mengenalpasti kawasan berpotensi untuk dijadikan sebagai terminal bagi meletakkan kenderaan berat.

"Setiap pengusaha bas dan pihak pengurusan kilang harus berbincang untuk mencadangkan agar bas kilang diletakkan dalam kawasan kilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan

dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota Lau Keng Ee semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Georgetown, hari ini.

Chow berkata, tindakan kompaun akan dikeluarkan kepada kenderaan berat atas kesalahan meletakkan kenderaan secara haram dan boleh didakwa mengikut Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Perintah Pengangkutan Jalan Tempat Letak Kereta MPPP 2014.

Menurutnya, tindakan menggantung atau membatalkan lesen kenderaan berat yang enggan mematuhi arahan serta menyita kenderaan berat mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 boleh dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 1:18 PM