Mior Farid Al Athrash (tengah) bersama anggotanya membuat pemeriksaan kenderaan di Kompleks ICQS di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
Mior Farid Al Athrash (tengah) bersama anggotanya membuat pemeriksaan kenderaan di Kompleks ICQS di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
HM Digital

Alor Setar: Enam lagi individu dipercayai Geng Pak Su yang mendalangi aktiviti jenayah khususnya penyeludupan dan pemerdagangan manusia sekitar sempadan Malaysia-Thailand bakal dituduh di mahkamah, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alathrash Wahid berkata, suspek antara 47 individu ditahan menerusi Ops Khas Sempadan sejak Ogos lalu digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Ogos lalu untuk tindakan mengikut Akta-Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Setakat ini, 24 daripada 47 yang ditahan dituduh di mahkamah mengikut SOSMA pada 9 Oktober lalu, manakala enam lagi dijangka dibawa ke mahkamah bagi tujuan sama esok, sementara baki masih dalam siasatan.

“Selain tindakan mengikut SOSMA dan Seksyen 130(V) serta Seksyen 130(W), Kanun Keseksaan (Akta 574), kami turut mengenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) ke atas lapan individu yang terbabit penyeludupan migran,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai Ops Sempadan Khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin, susulan operasi 20 jam di pintu sempadan Malaysia-Thailand bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:08 AM